Pakej Umrah & Haji Swasta, Upah Haji dan Upah Umrah 2014/2015


Mana-mana waris yang berhajat untuk melaksanakan UPAH HAJI & UMRAH bagi arwah keluarga mereka. Sila layari http://www.raudhah2u.my/ dan http://www.badalhaji1.blogspot.com/


Badal/Upah Haji dan Umrah 2014/2015

Followers

Catatan Popular

Sabtu, 4 September 2010

Bahaya jika Perlembagaan dicabuli

APABILA meneliti Perlembagaan Persekutuan, kita dapati dalam perlembagaan wujud lima perkara asas yang tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan. Apakah lima perkara asas itu? Ia membabitkan kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu termasuk pribumi Sabah dan Sarawak, hak kewarganegaraan, kedudukan agama Islam dan bahasa kebangsaan.

Mohd Foad Sakdan dalam bukunya Pengetahuan Asas Politik Malaysia (DBP, 1997) menyebut kelima-lima perkara asas itu sebagai politik perlembagaan yang dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan oleh Suruhanjaya Reid. Ia dimasukkan dalam Perlembagaan selepas berlakunya proses perundingan, permuafakatan atau kata sepakat secara kolektif di kalangan pemimpin pelbagai kaum di negara ini ketika itu.

Hakikatnya, kelima-lima perkara itu adalah satu bentuk kontrak sosial yang menjadi asas penting bagi mewujudkan perpaduan kaum di negara ini. Menurut Dr Hassan Ahmad, dari segi kemanusiaannya, kontrak sosial yang dilaksanakan di negara ini tidak sedikit pun mendiskriminasikan kaum lain. Malah, ia memberikan asas penyelesaian masalah perkauman yang wujud hasil daripada penjajahan British.

Penerimaan terhadap kontrak sosial itu telah pun menjamin kestabilan politik dan perpaduan di negara ini. Oleh itu, usaha untuk mencabuli atau menghapuskan lima perkara asas itu boleh menimbulkan pelbagai sentimen termasuk perkauman yang boleh memecah-belahkan rakyat seterusnya menjerumuskan negara ini ke kancah kebinasaan.

Ia juga adalah satu bentuk kompromi politik atau politik permuafakatan di kalangan pemimpin terdahulu daripada UMNO, MCA dan MIC. Datuk Prof Dr Zainal Keling, melihat politik kompromi itu sebagai nilai tradisi permuafakatan dan kerjasama yang menjadi sebahagian daripada nilai hidup masyarakat Malaysia.

Pendekatan ini sangat berkesan kerana segala program perpaduan dan integrasi nasional dapat dilaksanakan dengan jaya. Malah segala perselisihan faham dapat diselesaikan di meja rundingan. Ini bermakna politik kompromi yang diamalkan selama ini berjaya membentuk politik persetiaan murni atau bargain formula antara tiga ras terbesar iaitu Melayu, Cina dan India yang berjaya memperkukuhkan struktur perpaduan negara.

Jika kita mengimbas kembali titik tolak bermulanya asas permuafakatan ini ialah apabila pada 1955 apabila Britain memutuskan untuk mengadakan pilihan raya umum pertama di Tanah Melayu. Pilihan raya itu merintis satu bentuk kerjasama parti politik yang mewakili tiga kaum utama yang diwakili oleh UMNO, MCA dan MIC. Mereka bersetuju menubuhkan gabungan parti politik yang dinamakan Perikatan (kini Barisan Nasional).
Perikatan mengemukakan manifesto yang mengandungi beberapa perkara penting yang mencerminkan tolak ansur, kompromi dan permuafakatan ketiga-tiga kaum terbabit. Antara perkara penting yang disentuh dalam manifesto Perikatan ialah mengenai politik di mana Perikatan berjanji akan menegak, mempertahan dan melindungi kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Ketua Berperlembagaan Negeri baginda masing-masing.

Untuk itu, Perikatan mendesak ditubuhkan sebuah suruhanjaya bebas bagi meneliti pembaharuan perlembagaan yang berkait dengan kedudukan Raja-Raja Melayu dan kepentingan istimewa orang Melayu. Dalam perkara mengenai pelajaran, manifesto Perikatan bersetuju untuk mewujudkan satu jenis Sekolah Kebangsaan.

Mengenai bahasa pula, Perikatan bersetuju untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan yang dianggap acuan untuk membentuk sebuah negara. Perikatan juga dalam manifestonya berjanji mendapatkan kemerdekaan negara dalam masa empat tahun.

Menurut Zainal Abidin Wahid (1971), pilihan raya umum pertama itu merekodkan 1,280,000 orang daripada 1,600,00 yang layak mengundi mendaftar sebagai pengundi. Pecahan peratusan kaum mereka yang mendaftar sebagai pengundi itu ialah Melayu 85 peratus, Cina 11 peratus dan kaum India kurang 5 peratus. Sebanyak 85 peratus daripada jumlah mereka yang mendaftar itu keluar untuk mengundi.

Perikatan meletakkan calon bagi semua 53 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan akhirnya berjaya memenangi 52 kerusi, manakala satu kerusi lagi dimenangi oleh PAS. Menariknya, calon bukan Melayu dari Perikatan yang bertanding di kawasan majoriti Melayu turut memenangi pilihan raya itu. Ini membuktikan betapa orang Melayu ketika itu sudah pun bersedia untuk menerima calon bukan Melayu di kawasan mereka.

Manifesto yang dikemukakan Perikatan itu juga jelas membuktikan betapa pemimpin pelbagai kaum itu sama-sama bersetuju dan memperjuangkan perkara mengenai warisan orang Melayu iaitu kedudukan Raja-Raja Melayu, hak istimewa orang Melayu, bahasa Melayu dan kedudukan agama Islam. Malah mereka turut sama menyetujui kepentingan satu jenis Sekolah Kebangsaan bagi kepentingan perpaduan.
Kelima-lima elemen politik perlembagaan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipersoal atau dipertikaikan kedudukannya kerana ia dilindungi oleh Perlembagaan. Justeru, kita bimbang melihat senario politik negara hari ini yang semakin tidak menghiraukan politik perlembagaan itu.

Perkara asas Perlembagaan Persekutuan itu dipertikai dan dipersenda malah dipolitikkan sewenang-wenangnya. Terbaru ialah pendedahan yang dibuat oleh Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria, bahawa sudah ada pihak mewujudkan perlembagaan baru yang menyisihkan hak-hak orang Melayu dan juga Islam yang dijamin dalam Perlembagaan sekarang. Ia menandakan bahawa sudah ada kecenderungan pihak tertentu untuk mencabuli apa yang sudah termaktub dalam Perlembagaan Negara.

Penulis ialah Ketua Unit Komunikasi Media, Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Digg Google Bookmarks reddit Mixx StumbleUpon Technorati Yahoo! Buzz DesignFloat Delicious BlinkList Furl

0 ulasan: on "Bahaya jika Perlembagaan dicabuli"

Catat Ulasan